Panduan Pengurusan Pendidikan Penegahan Denggi Sekolah

Tuesday, July 1, 2014

UTUSAN : Pasukan Petugas Khas Denggi


PUTRAJAYA 1 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk menangani peningkatan kes demam denggi di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.
Menurut Perdana Menteri, pasukan tersebut akan diketuai Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib memberitahu, Pasukan Petugas Khas itu akan turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau memberitahu, pasukan tersebut turut melibatkan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan.
"Kerajaan berharap dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas ini akan dapat membendung peningkatan kes-kes demam denggi dengan kadar segera di samping melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan lebih berkesan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes kematian akibat demam denggi di seluruh negara meningkat 228 peratus apabila sebanyak 82 kes dicatatkan berbanding 25 kes sejak Januari sehingga 21 Jun lalu.
Jumlah tersebut melibatkan 42,229 kes dilaporkan yang mana menyaksikan peningkatan 248 peratus berbanding 12,143 kes bagi tempoh yang sama.
Sepanjang minggu ke-25 iaitu bermula 15 hingga 21 Jun lalu, sebanyak 2,021 kes dicatatkan berbanding 1,797 kes pada minggu sebelumnya yang mana menunjukkan peningkatan 224 kes (12.5 peratus) dengan melibatkan empat kematian.
Selangor merupakan antara negeri paling banyak dilaporkan demam denggi apabila mencatatkan 24,197 kes dengan 32 kematian berbanding 5,292 kes dengan enam kematian bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pernah mengakui tahap kesedaran yang lemah dalam kalangan masyarakat bandar menyebabkan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan daripada penempatan nyamuk aedes tidak mendapat sambutan.
Menurut beliau, kegagalan tersebut turut dipengaruhi oleh faktor kesedaran orang ramai mengenai wabak denggi yang masih rendah menyebabkan tiada kesungguhan untuk mereka bersama-sama membersihkan rumah, kawasan persekitaran dan kejiranan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment