Panduan Pengurusan Pendidikan Penegahan Denggi Sekolah

Monday, September 29, 2014

Kes demam denggi menurun 50 peratus minggu ini - Dr Hilmi

Bernama |Kemas kini:September 28, 2014
(Diterbitkan pada: September 28, 2014 08:55 MYT)

IPOH: Kempen Perangi Denggi Habis-Habisan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua bulan lepas, menghasilkan kesan positif apabila kes demam denggi direkodkan menurun sebanyak 50 peratus pada setiap minggu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata penurunan itu juga berlaku di Kelantan dan Selangor yang sebelum ini mencatatkan bilangan kes demam denggi yang tinggi.

Katanya kes demam denggi itu dilihat menurun daripada 3,000 kes kepada 1,500 kes berikutan pelbagai usaha yang dijalankan KKM dengan kerjasama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta orang awam dalam mengawal pembiakan nyamuk aedes terutama di kawasan berisiko.

"Bilangan kes demam denggi yang tinggi terutama di Selangor dan di Kelantan juga menunjukkan penurunan. Kakitangan KKM akan terus menjalankan tugas seperti biasa dalam menangani pembiakan nyamuk aedes walaupun kempen telah tamat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) Institusi Latihan KKM (ILKKM) di  Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Kempen itu memberi tumpuan di sembilan kawasan iaitu Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak di Selangor; Cheras, Titiwangsa, Kepong dan Putrajaya di Wilayah Persekutuan serta Seremban di Negeri Sembilan.

Dr Hilmi berkata pembiakan nyamuk aedes terutama di Selangor dan Kelantan berpunca daripada sampah sarap yang menyebabkan air bertakung.

"Terdapat kontraktor yang dilantik tidak menjalankan kerja dengan baik sebagai contoh di Selangor, terpaksa melantik kontraktor lain kerana kontraktor sedia ada tidak menjalankan pembersihan sampah sarap dengan sebaiknya," katanya.

Mengenai pelancaran PISPA hari ini, Dr Hilmi berkata PISPA merupakan entiti yang berperanan dalam membina sahsiah dan jati diri pelatih ILKKM yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Modul PISPA yang dibina menjurus kepada usaha memperkasa semangat kesukarelawan ini, berhasrat untuk membekalkan ilmu pertahanan awam yang menyeluruh meliputi aspek perubatan kecemasan, menyelamat, etika dan sosial termasuk kenegaraan.

Katanya kementerian sentiasa berhasrat melahirkan anggota sains kesihatan bersekutu yang berkualiti, komited terhadap perkhidmatan, memiliki nilai positif dan keutuhan diri serta semangat cintakan negara yang berdaulat ini.

http://www.astroawani.com/news/show/kes-demam-denggi-menurun-50-peratus-setiap-minggu-dr-hilmi-44856

No comments:

Post a Comment