Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati kesemua katil di wad-wad yang dikhaskan untuk pesakit denggi sentiasa penuh.
Difahamkan, HTAR menerima beratus-ratus pesakit denggi setiap hari sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan mereka terpaksa membuat pengasingan ke atas para pesakit denggi.
Pesakit denggi di HTAR akan diasingkan mengikut kategori kecemasan, kritikal, separa kritikal dan stabil untuk memudahkan pemantauan.
Pihak hospital juga difahamkan terpaksa menambah bilangan wad yang dikhususkan untuk pesakit denggi sahaja bagi menampung kadar kemasukan pesakit yang tinggi.
Seorang pesakit yang ditemui, Abdul Razak Ahmad, 47, berkata, ketika dimasukkan ke wad pada Jumaat lalu, dia terpaksa menunggu selama lebih dua jam di bilik kecemasan sebelum dimasukkan ke wad.
Katanya, setiap hari, HTAR menerima banyak pesakit denggi dan katil di wad denggi di tempat dia dirawat tidak pernah ada yang kosong.
"Setiap hari ada sahaja pesakit yang masuk. Sepanjang saya di tempatkan di wad ini juga, tidak ada katil yang pernah kosong.
"Jika ada pesakit yang keluar, dengan segera ia akan diisi oleh pesakit baharu," kata seorang pengawal keselamatan itu yang ditemui di HTAR di sini, semalam.
Seorang lagi pesakit, Norzana Rosman, 31, berkata, akibat pesakit yang ramai, dia terpaksa dipindahkan dari satu wad ke wad lain mengikut tahap denggi yang dialaminya.
Menurut kakitangan kerajaan yang telah ditahan selama empat hari di HTAR itu, hari ini dia juga dijangka dipindahkan untuk kali yang ketiga ke wad lain iaitu ke bahagian stabil.
"Pihak hospital terpaksa membahagi-bahagikan pesakit denggi mengikut tahap kesihatan mereka bagi memudahkan pemantauan.
"Bagi pesakit yang kritikal, mereka akan ditempatkan di bahagian hadapan untuk memudahkan pasukan perubatan sentiasa memantau keadaannya," ujarnya.
Suriya Mohd Hasan, 36, yang merupakan suri rumah dan baru dimasukkan ke wad hari ini pula berkata, meskipun HTAR menerima pesakit denggi yang ramai, pihak hospital dilihat masih mampu mengendalikannya.
"Saya lihat pesakit baharu tidak henti-henti dimasukkan ke wad. Jika dua dibenarkan keluar, lima pula pesakit baharu akan dimasukkan wad. Namun, setakat ini saya lihat keadaannya masih lagi dalam kawalan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment